Berpolitik untuk ‘mati’- Idris Ahmad

0
2

POLITIK adalah untuk ‘mati’ dan ahli politik adalah khadam rakyat, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, sebagai umat Islam perlu yakin dan percaya bahawa adanya hari akhirat sebagai hari pembalasan dan setiap apa yang ada di muka bumi ini sesekali tidak akan kekal.

Menurutnya, tiada makna sekiranya mempunyai jawatan dan pangkat sekiranya terseksa di akhirat kelak.

“Politik ini adalah untuk ‘mati’..politik untuk bekalan kepada akhirat. Pada saya tanggungjawab saya sebagai Menteri ini berat, saya akan disoalkan sebagai seorang suami, sebagai seorang bapa dan satu lagi tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

“Dan saya pun takut, bimbang tak sempat kita nak jawab depan Allah SWT nanti,” katanya dalam satu hantaran dan video yang dimuatnaik di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, penerapan itulah yang dididik dalam Pas dan di dalam parti itu orang yang melobi tidak akan naik sama ada dalam parti atau untuk jadi calon.

“Lebih-lebih lagi nak lobi untuk menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri. Itu bukan yang dididik dan diasuh oleh Pas.

“Kita berpolitik ini kerana kita tahu sebahagian daripada ajaran yang diajar oleh agama kita yang kita tahu soalannya ada syurga, neraka..ada dosa dan pahala,” katanya.

Menurutnya, jawatan yang dipegang juga bukanlah sesuatu yang dianggap ‘glamour’ tetapi sebaliknya adalah bebanan.

“Sebab itu jawatan ini bukanlah dianggap glamour..Tashrifun (kemuliaan), tetapi dianggap sebagai Taklifun (bebanan), bukan satu yang glamour tetapi dianggap sesuatu yang membebankan atau tanggungjawab.

“Yang penting kita khadam kepada rakyat untuk memastikan rakyat dalam keadaan baik, kerana rakyat yang beri kita elaun dan gaji.

“Jadi bagaimana kita nak uruskan negara dengan baik dan kita mesti mengambil cakna kepada rakyat. Itu yang kena fikirkan siang dan malam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here