“Rasuah walaupun RM1 sekalipun dosanya tetap sama” – Asyraf Wajdi

0
2

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman diingatkan agar ‘cakap serupa bikin’ dan menerima bahawa tiada siapa boleh mengatasi undang-undang, jika beliau menghadapi nasib yang sama seperti bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelak.

Peringatan kepada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang merujuk kepada kes mahkamah yang dihadapi Ahli Parlimen Muar berkenaan.

“Betul kata YB ‘no one is above the law’ (tiada siapa boleh mengatasi undang-undang). Termasuklah YB Syed Saddiq sendiri yang sedang berdepan dengan pertuduhan di mahkamah atas pelbagai kes penyelewengan, pecah amanah dan rasuah berjumlah RM1.12 juta.

“Menantikan jawapan YB di Mahkamah, macam mana boleh terfikir untuk masukkan wang parti yang diselewengkan ke dalam akaun pelaburan ASB sendiri?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, ahli-ahli politik muda tanpa mengira parti sepatutnya yang diharapkan untuk membina kembali negara dengan amalan politik yang bersih dan berintegriti bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan apa jua bentuk penyelewengan.

“Apa-apapun tanpa prejudis, kita tunggulah keputusan mahkamah nanti,” katanya.

Terdahulu Syed Saddiq dalam hantaran di laman media sosialnya kelmarin memberi peringatan kepada semua bahawa tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.

Peringatan itu dipercayai susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Asyraf Wajdi berkata, beliau berasa pelik apabila ada yang mempertahankan Syed Saddiq dengan mengatakan kononnya apa sangat RM1 juta berbanding ratusan juta atau billion.

“Rasuah walaupun RM1 sekalipun dosanya tetap sama. Salah tetap salah. Jangan sesekali menormalisasikan penyelewengan dalam apa jua bentuk,” katanya.

Syed Saddiq yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu kini sedang dibicarakan atas empat tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang dana RM1.12 juta milik Bersatu.

Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan dana parti untuk Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan RM1 juta didakwa dikeluarkan beliau tanpa persetujuan pucuk pimpinan parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here