HUKUMAN yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak tidak wajar dijadikan alasan untuk menghina dan mempersendakan bekas Perdana Menteri itu, tegas Ketua Pemuda Umno Cheras, Johari Yazid.
Beliau berkata, seharusnya ia dijadikan iktibar atas musibah yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu untuk dijadikan pedoman dan manusia lebih baik di sisi Allah SWT.
“Sebagai seorang manusia, saya percaya bahawa kita tidak pernah lari dan terlepas dari membuat kesilapan dan dosa, namun kita harus bersyukur kepada Allah SWT kerana aib kita itu masih terlindung lagi dari pandangan manusia di dunia ini.
“Maka sebagai manusia yang tidak terlepas dari khilaf, tidak sewajarnya kita menghina kelemahan dan kesilapan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Johari kesal dengan segelintir pihak termasuk pemimpin parti politik dan warga maya yang dilihat seolah-oleh bergembira atas hukuman yang dikenakan terhadap Najib.
Lebih buruk lagi, katanya, apabila hukuman tersebut turut dijadikan bahan jenaka dan sindiran secara tidak bertanggungjawab melalui ruangan terbuka seperti medium media sosial.
Dalam masa sama, beliau berkata Najib telah membayar harga perjuangan yang sangat mahal dalam memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kembali bangkit selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Sebagai pemimpin dan ahli akar umbi BN, kita perlu memastikan segala pengorbanan Datuk Seri Najib Razak ini tidak sia-sia begitu sahaja.
“Kita mesti memastikan Umno-BN kembali mentadbir negara pada PRU nanti agar pendakwaan terpilih dan bersifat politik sebegini tidak lagi akan berlaku,” katanya.
Mahkamah Persekutuan kelmarin mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International.
Najib kini dipenjara di Penjara Kajang selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

