Nelayan hilang ditemui selamat

0
2

SEORANG nelayan terpaksa bertahan di laut selama dua hari tanpa sebarang bekalan makanan selepas bot dinaiki kehabisan minyak ditemui selamat di kedudukan 16.6 batu nautika barat daya Kuala Terung, Perak pada jam 12 tengah hari tadi.

R Rajah, 43, ditemui nelayan tempatan yang melalui kawasan tersebut dan kemudian diselamatkan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kurau menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa susulan laporan polis mengenai kehilangannya di perairan Kuala Gula setelah keluar melakukan aktiviti perikanan pada Isnin lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid, berkata Bot Maritim Benteng 3 diatur gerak ke lokasi penemuan untuk tindakan lanjut.

“Menurut kenyataan mangsa, bot yang dinaikinya kehabisan minyak dan telah hanyut menyebabkan mangsa terpaksa bertahan di bot selama dua hari tanpa sebarang bekalan makanan sebelum ditemukan nelayan tempatan yang melalui kawasan tersebut.

“Mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan di klinik pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdahulu operasi pencarian turut dibantu oleh aset daripada Pasukan Polis Marin (RH 34), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BP 54), Jabatan Perikanan Malaysia (PL 38) dan 10 buah bot komuniti nelayan setempat.

“Maritim Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan strategik Carilamat dan komuniti nelayan dalam operasi kali ini.

“Sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakan segera,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Maritim Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here