DATUK Mohd Nizar Najib yang juga anak sulung Datuk Seri Najib Razak, meminta orang ramai mengambil iktibar daripada kebangkitan bapanya sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata, biarpun dianggap sudah tidak relevan namun bapanya mampu bangkit semula dengan fenomena Bossku serta pergerakan media sosial yang padu.
“Dengan semangat juang tinggi ini beliau dapat membantu jentera Barisan Nasional serta Umno menang dan menawan semula kerusi mahupun negeri di siri Pilihan Raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Semasa mentadbir, beliau dikenali seorang yang banyak membantu masyarakat umum di semua lapisan, tanpa mengira warna kulit dan kaum. Begitu banyak program dan inisiatif dilaksanakan untuk rakyat jelata dan B40,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Nizar menyifatkan dugaan menimpa keluarganya kali ini amat berat namun tetap akan membela dan membantu bapanya.
Beliau dalam hantaran itu juga mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat yang hadir di mahkamah dan yang berdoa serta bersolat hajat dari jauh.
“Ramai menghantar mesej dorongan dan sokongan melalui saluran WhatsApp dan media sosial. Hanya Allah SWT mampu membalas jasa baik kalian semua. Saya dan keluarga sudah tentu memerlukan sedikit masa untuk menerima realiti peristiwa sedih ini.
“Sama-samalah kita doakan ayahanda Najib Razak sentiasa selamat dan di bawah perlindungan Allah SWT,” ujarnya.
Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International.
Najib dipenjarakan selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Maka dengan sabitan pertuduhan berkenaan, Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun, berkuatkuasa semalam. – Malaysiapost

