Aiman Hanif
SELEPAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad, dua orang lagi menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan telah positif Covid-19.
Menurut sumber, dua menteri yang didakwa positif Covid-19 membabitkan seorang Menteri Kanan yang dikatakan memilih untuk menjalani rawatan di rumah.
“Ya, mereka positif Covid-19, bagaimanapun memilih untuk menjalani rawatan di rumah.
“Salah seorangnya Menteri Kanan dan seorang lagi memegang portfolio kanan, meskipun tidak bergelar Menteri Kanan,” kata sumber kepada Malaysiapost.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr zulkifli Bakri mengesahkan yang beliau positif Covid-19.
Disebabkan beliau menghadiri mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabtu lalu, beberapa menteri yang merupakan kontak rapat dengannya diarahkan supaya menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selepas menjadi kontak rapat kepada Zulkifli.
Turut bertindak menjalani kuarantin kendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Kementeri Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Sementara itu, di media sosial beberapa pemilik akaun Twitter mendakwa Menteri (Kanan) Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali positif Covid-19.
Selain Azmin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga dikatakan positif wabak itu.
Malaysiapost sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan mengenainya.
Bagaimanapun, Setiausaha Politik kepada Azmin, Hilman Idham dalam satu ciapan di laman sosial Twitter berkata yang dia menerima banyak pertanyaan tentang status kesihatan bekas Timbalan Presiden PKR itu.
“Terima banyak pertanyaan tentang kesihatan dan kedudukan DS
@AzminAli ketika ini. Saya harap semua pihak menghormati privacy beliau dan keluarga.
“Mohon semua bertenang dan mendoakan keselamatan dan keafiatan rakyat Malaysia,” ciapnya di Twitter.- Malaysipost.

