‘RM1.3 juta untuk Persatuan Bola Sepak PDRM pinjaman bukan sumbangan’ – Zahid

0
2

Nahar Tajri

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau tidak perlu berasa gembira ketika menerima cek berjumlah RM15.25 juta daripada ahli perniagaan kerana ia bukan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya untuk amal kebajikan.

Dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali, bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, cek sumbangan daripada Junaith Asharab Md Shariff, yang juga pemborong tekstil itu adalah bagi membangunkan masjid dan sekolah tahfiz di kawasan Parlimennya.

Katanya, beliau hanya mengucapkan terima kasih, namun tidak perlu gembira apabila menerima cek menerusi Yayasan Akalbudi (YAB) diasaskannya, yang dimasukkan dalam akaun firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Ahmad Zahid juga tidak mempersoalkan sumber sumbangan itu daripada mana, selain sama ada ia wang pinjaman atau curi.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, Ahmad Zahid berkata, dana RM1.3 juta YAB diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2015, adalah berbentuk pinjaman bukan tajaan.

Pihak pendakwaan hari berusaha mendapatkan pengakuan Ahmad Zahid bahawa tindakannya meluluskan sumbangan berbentuk pinjaman RM1.3 juta kepada Persatuan Bola Sepak PDRM adalah tidak menepati matlamat penubuhan YAB yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti membantu fakir miskin dalam negara ini.

Malah, pasukan pendakwaan beberapa kali dilihat memberi penekanan bahawa pemain boleh sepak PDRM tidak tergolong dalam golongan fakir miskin.

Namun, kenyataan itu disangkal Ahmad Zahid yang menegaskan pemain PDRM ketika itu dalam keadaan tertekan kerana tidak dibayar gaji selama empat bulan menyebabkan mereka termasuk dalam kumpulan fakir miskin.

“Perkiraan saya mereka ini memerlukan bantuan kebajikan kerana empat bulan tidak bergaji.

“Ini tidak menyalahi mana mana Klausa penubuhan Yayasan Akal Budi, ia adalah pinjaman dan bukan sumbangan sebab itu ia dibayar semula,” katanya.

Sebelum ini Ahmad Zahid, menegaskan beliau tidak pernah memberi apa-apa sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak PDRM, bagaimanapun sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, PDRM berada di bawah kendaliannya.

“Saya telah dimaklumkan oleh menantu saya Datuk Zul Hisham Zainal bahawa, persatuan bola sepak itu berada dalam keadaan yang sangat memerlukan bantuan kewangan

“… memandangkan empat bulan gaji mereka tidak dibayar menyebabkan pemain dan staf tidak berkemampuan untuk membayar perbelanjaan peribadi, seperti membayar sewa rumah, kereta, nafkah dan keperluan lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here