DAP mahu lapor polis terhadap Hadi 

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=530724165078329&set=pb.100044222510324.-2207520000..&type=3

LAPORAN polis perlu dibuat dan tindakan perlu diambil terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng. 

Ia susulan dakwaan Ahli Parlimen Marang itu yang tidak berasas, memecahbelah, berbaur perkauman dan ekstremis kepada bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca rasuah di Malaysia. 

Sehingga kini, kata Guan Eng, Abdul Hadi masih tidak menarik balik dan tidak berasa malu dengan dakwaannya itu. 

“Ini bukan kali pertama Hadi terlibat dalam ucapan kebencian terhadap bukan Bumiputera dan bukan Melayu, dengan sebelum ini menyatakan orang bukan Islam tidak berhak untuk memegang jawatan menteri penting dalam Kabinet. 

“Hadi juga secara palsu mendakwa bukan Islam dan bukan Bumiputera merampas kuasa politik daripada orang Melayu dan Islam walaupun Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, serta setiap jawatan tinggi dan kanan dalam perkhidmatan awam, Angkatan Tentera dan Polis tidak pernah disandang oleh orang bukan Bumiputera atau bukan Islam. 

“PAS juga mahu haramkan konsert, Oktoberfest dan Bon Odori walaupun acara-acara ini hanya dihadiri bukan Islam atau ia hanya acara kebudayaan yang telah dianjur berpuluh tahun tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya menerusi kenyataan. 

Guan Eng menambah, Abdul Hadi terus berani untuk mengeluarkan ucapan kebencian seperti itu kerana parti politik atau nenteri bukan Islam dan bukan Bumiputera dalam kerajaan terus membiar dan menyokong beliau sebagai Duta Khas kerajaan ke Timur Tengah berstatus menteri. 

“Walaupun mereka mungkin berpura-pura mengkritik Hadi atau PAS dalam akhbar, realitinya MCA, MIC, GPS dan GRS adalah hipokrit dengan terus menyokong kuat PAS dan Menteri mereka dalam kerajaan. 

“Tidak ada seorang pun menteri bukan Islam membangkitkan isu ini dalam Kabinet dan bahawa menteri PAS harus menjadi menteri untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk orang Islam dan Bumiputera. 

“Rakyat Malaysia, khususnya yang berasal dari Sabah dan Sarawak tidak boleh benarkan PAS menyebar ideologi kebenciannya yang jelas dan berbahaya kepada kesucian Perlembagaan Persekutuan, keutuhan negara dan perpaduan rakyat. 

“PAS tidak boleh dibenarkan memainkan apa-apa peranan dalam kerajaan melainkan mereka memohon maaf secara terbuka dan menyangkal fahaman perkauman dan ekstremis seperti itu,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here