3 ditahan bantu siasatan kes bunuh remaja perempuan Orang Asli

0
2
grafik

Ben Ibrahim

TIGA lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat remaja perempuan Orang Asli yang disyaki dibunuh di jalan masuk persimpangan kubur lama Bukit Ibam, dekat Muadzam Shah, Rompin, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata suspek yang juga keturunan Orang Asli ditahan kira-kira jam 9 malam tadi.

Menurutnya, pada jam 2.45 petang Ahad lalu, seorang lelaki datang ke Balai Polis Bukit Ibam dan memaklumkan menjumpai mayat berdekatan jalan masuk kawasan simpang perkuburan lama Bukit Ibam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah remaja permpuan Orang Asli berusia 14 tahun dan tidak bersekolah.

“Mangsa dijumpai dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala oleh sepupunya di kawasan lereng bukit bersemak berdekatan laluan masuk rumah mangsa.

“Siasatan awal juga mendapati mangsa keluar rumah pada malam kejadian dan tidak pulang ke rumah sehingga ayahnya memaklumkan kepada polis mengenai penemuan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan dibantu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin bertindak menahan tiga lelaki Orang Asli pada jam 9.40 malam tadi bagi membantu siasatan.

“Ketiga-tiga lelaki berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Rompin pagi ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

“Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi pihak polis di talian 09-4145999 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Abdul Khaliq Mustopa di talian 019-9999769,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here