POLIS kini memburu suspek dipercayai pengedar dadah yang bertindak cuba merempuh anggota polis dengan kenderaan dipandunya ketika melarikan diri dari ditahan di tempat letak kereta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, Jalan Sungai Manila Batu 12, Sandakan, semalam.
Kejadian itu tular di media sosial melalui rakaman video penduduk di kawasan perumahan terbabit berdurasi 30 saat yang turut membabitkan tembakan dilepaskan.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek, berkata dalam kejadian itu lima anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan cuba menahan kereta suspek pengedar dadah di tempat kejadian.
“Suspek telah bertindak agresif dan hampir melanggar seorang anggota serbuan hingga memaksa satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta suspek untuk menghentikan kenderaan itu dari merempuhnya.
“Anggota serbuan yang lain pula cuba menghentikan kenderaan dengan memecahkan cermin hadapan menggunakan ‘walkie-talkie’ menyebabkan terdapat kesan hentakan pada cermin hadapan kereta suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagaimanapun suspek berjaya meloloskan diri bersama kenderaannya yang kemudian ditinggalkan di tepi jalan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan siasatan lanjut dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan R Jas Dead ditalian 013-3598455,” katanya. – Malaysiapost

