Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta Kabinet membuat beberapa ketetapan pada Mesyuarat Kabinet akan datang, susulan Laporan Pengauditan Forensik berkaitan program kapal tempur pesisir (LCS) yang diniyah klasifikasikan malam tadi.
Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata laporan audit forensik berkenaan adalah berdasarkan mandat pengauditan dari Tahun Kewangan 2011-2014.
Menurutnya, walaupun kebanyakan Surat Anugerah atau Letter of Awards (LOA) adalah dikeluarkan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam tempoh tersebut, namun pelaksanaannya adalah sekurang-kurangnya sehingga tahun 2018.
“Laporan mendapati selagi kesemua transaksi dan aktiviti berkenaan dengan pelaksanaannya sehingga tahun 2018 belum disiasat dengan mendalam, berkemungkinan fakta-fakta penting untuk pembuktian kelakuan jenayah akan ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, maka PAC meminta supaya Kabinet membuat beberapa ketetapan pada Mesyuarat Kabinet yang akan datang iaitu mengarahkan supaya Pengauditan Forensik lanjut dilaksanakan oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) ke atas projek LCS.
Menurutnya, ia bagi melengkapi segala transaksi dan aktiviti berkaitan dengan pelaksanaan projek dan LOA dari 2015 sehingga kini.
Katanya, ketetapan lain adalah laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkenaan enam projek kapal peronda generasi baru (NGPV), juga harus dinyah klasifikasikan.
“Memandangkan timbulnya isu penggunaan wang peruntukan LCS untuk pembayaran hutang lapuk NGPV oleh BNS, laporan JKSTUPKK mengenainya juga harus dinyah klasifikasikan.
“Projek ini diikuti dengan Projek LCS pada tahun 2011 yang mana kontrak juga diberikan kepada BNS,” katanya. – Malaysiapost

