Hanya sekolah di zon merah sahaja ditutup – PM

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KEPUTUSAN mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan mengenainya akan dibuat setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang mengenai anak-anak yang hadir ke sekolah. Setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah.

“Kawasan-kawasan zon merah tersebut adalah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak Dan Semporna, Sabah,” katanya dalam Perutusan Khas Covid-19.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau keadaan kes Covid-19 di sekolah di seluruh negara.

“Jika ada sebarang kes membabitkan warga sekolah, KPM akan akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam menanganinya.

“Dalam hal ini, KKM akan memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid, guru dan kakitangan sekolah.

“Jika perlu, keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat daripada KKM,” katanya. – Malaysiapost