Laporan fitnah: Pemuda cadang Umno saman AstroAwani – Asyraf Wajdi

0
2

PEMUDA Umno akan membawa cadangan untuk memulakan saman terhadap AstroAwani dalam Mesyuarat Pengurusan parti itu susulan laporan berita yang didakwa tidak berasas serta menimbulkan prasangka buruk kepada Umno.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata laporan berita mendakwa majoriti ketua bahagian Umno menolak usul untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan kes SRC membabitkan Datuk Seri Najib Razak sebagai fitnah.

“Ini satu penglaporan berita fitnah yang langsung tidak bertanggungjawab dan beretika. AWANI seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif,” katanya menerusi Facebook, sebentar tadi.

Asyraf Wajdi berkata, beliau yang turut berada dalam mesyuarat berkenaan mengesahkan tiada langsung agenda perbincangan seumpamanya dibincangkan dalam pertemuan terbabit.

“Saya turut berada dalam Mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi hingga pukul 1.30 tengahari.

“Tiada langsung agenda perbincangan mendesak mendesak PM mencampuri urusan mahkamah apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan di kalangan kepimpinan Bahagian mengenainya,” katanya.

Jelasnya, tidak logik untuk mereka mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes SRC yang sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Lagipun bukan PM yang melantik Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang ada hari ini, tidak sebagaimana zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang terlibat dalam pemilihan hakim-hakim seperti dakwaan Tommy Thomas selaku bekas Peguam Negara dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, secara umum mesyuarat yang berlangsung hari ini adalah lebih kepada isu-isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Justeru, saya berharap AWANI lebih bertanggungjawab dalam penglaporan berita dan berpegang kepada etika kewartawanan yang tinggi bukan seperti media-media pojok murahan yang lain,” katanya.

Terdahulu, AstroAwani melaporkan mesyuarat tergempar melibatkan ketua-ketua bahagian Umno hari ini gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Ismail Sabri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Najib.

Menurut laporan berita yang memetik sumber dalaman Umno itu, ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama Umno.

Menurut sumber itu lagi, ada dalam kalangan kalangan ketua bahagian yang terpaksa datang selepas dipercayai diberi kata dua, tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam PRU15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here