Ahmad Idham akui tertarik hala tuju GTA pimpinan Tun M

0
2

PENERBIT dan pengarah filem, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri mengakui menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) kerana tertarik dengan hala tuju gabungan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu sebelum ini meninggalkan parti Bersatu pada Julai lalu.

Menerusi kenyataan hari ini, Ahmad Idham berkata hasrat menyertai GTA timbul selepas dijemput mendengar penjelasan Dr Mahathir berhubung gerakan tersebut pada 17 Ogos lalu.

“Saya tertarik untuk bersama kerana gerakan ini tidak berpaksi kepada parti politik semata-mata, bahkan ia menggabungkan individu, NGO, ahli profesional dan ahli akademik di bawah satu bumbung.

“Gabungan ini bertujuan menyumbang bakti kepada masyarakat dan tanah air dengan kapasiti kemampuan masing-masing,” katanya.

Ahmad Idham baru-baru ini hadir bersama dengan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof dalam mesyuarat penubuhan GTA.

Mengulas lanjut, bekas pelakon sitkom Spanar Jaya itu berkata, tindakan keluar daripada Bersatu diambil kerana lebih selesa menggerakkan perjuangan Hab Pendidikan Khas yang dilaksanakan melalui NGO, Pertubuhan Briged Prihatin serta ahli profesional dan intelektual.

“Setelah memulakan perjuangan Hab Pendidikan Khas ini di Ampang, maklum balas positif yang saya terima bukan sekadar di Ampang sahaja tetapi merebak sehingga ke seluruh Malaysia.

“Disebabkan itu saya merasakan GTA medium terbaik untuk saya terus memperkasa perjuangan ini serta menyantuni anak-anak istimewa di seluruh negara,” kata bekas Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang.

Ahmad Idham berkata, beliau bakal memperkembangkan inisiatif Hab Pendidikan Khas ke Negeri Sembilan bersama Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here