KPM rekod 19 aduan buli sejak Khamis – Radzi

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menerima 19 aduan berkaitan buli sejak portal aduan buli dilancarkan, pada Khamis lalu.

Perkara itu didedahkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang menejalskan semua aduan berkenaan kini sedang diteliti sebelum sebarang tindakan dapat diambil.

“Menerusi portal ini, kita ada tiga platform untuk membuat aduan, iaitu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) kita terima sebanyak 16 aduan, manakala tiada aduan diterima menerusi emel.

“Selain itu sejumlah lima panggilan telefon diterima namun kesemuanya bertanyakan berkaitan portal berkenaan dan platform terakhir adalah menerusi aplikasi WhatsApp iaitu terdapat 10 pertanyaan berkaitan portal dengan tiga lagi adalah aduan buli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Platform Pembelajaran Digital atau Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1), hari ini.

Bagaimanapun, Radzi berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan negeri yang paling banyak kes atau sama ada sekolah bandar atau luar bandar.

“Apa yang penting, apabila kita terima aduan itu kita akan buat penelitian yang mendalam untuk ambil tindakan sewajarnya. Kerana bagi kementerian, sama ada kes itu berlaku di luar bandar atau bandar, di sekolah asrama atau tidak, semuanya kita akan buat penelitian. Kita tidak mahu anaktirikan mana-mana sekolah.

“Paling penting maklumat (aduan) itu sampai pada kementerian secepat mungkin untuk kita tangani kes berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Radzi berkata, portal DELIMa yang diperkenalkan sejak 2019 itu kini dibuat beberapa penambahbaikan yang membolehkan pembelajaran secara personalisasi mula digunakan oleh murid dan guru sekolah KPM.

“Mulai hari ini, kita dapat lihat wajah baharu pelantar pembelajaran DELIMa yang ditambah baik dengan beberapa ciri tambahan serta lebih menarik bagi memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan kepada anak-anak.

“Dengan ciri-ciri baharu yang lebih mesra pengguna, evolusi DELIMa antaranya akan melibatkan pembelajaran secara personalisasi bagi membantu pembelajaran agar menjadi lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata, setiap pengguna juga boleh berinteraksi dan memilih jenis aktiviti, aplikasi dan perkhidmatan yang diperlukan untuk mengajar atau belajar.

“Perubahan yang dilaksanakan dalam DELIMa ini akan mendorong dan menggalakkan penggunaan platform digital dengan lebih berkesan dalam pelaksanaan PdP.

“Perkhidmatan dalam talian dari peringkat awal ke akhir ini juga akan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan pendidikan kepada masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here