Muhammad Mustakim Ramli
TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah juga antara punca peningkatan kes Covid-19.
Perdana Menteri, berkata PRN Sabah terpaksa diadakan apabila Yang Di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.
Katanya, ia sesuatu yang tidak dapat dielak kerana semua tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan iaitu pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.
“Saya sedar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan SOP tertentu bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak akibat kempen pilihanraya diadakan. Tetapi malangnya ada SOP yang tidak dipatuhi.
“Misalnya penjarakan sosial. Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakan sosial agak kurang dipatuhi.
“Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan agak sesak,” katanya dalam Perutusan Khas Covid-19.
Muhyiddin berkata, oleh kerana itu beliau terpaksa membuat SOP sendiri.
“Saya datang dengan kereta terus ke pentas tanpa melalui khalayak ramai. Ketika mula berucap, saya peringatkan semua yang hadir supaya patuhi SOP yang ditetapkan.
“Setelah habis berucap, saya terus masuk kereta dan meninggalkan tempat ceramah. Dengan itu, saya tidak bersalam atau menyentuh sesiapa,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pegawai-pegawainya supaya tidak mengatur kempen di kawasan Zon Merah.
“Walaupun menerima undangan, saya terpaksa tolak dengan baik. Ya, kalau diikutkan saya ingin berkempen di semua tempat.
“Tetapi saya juga memikirkan tentang kesihatan dan keselamatan orang ramai yang hadir ke tempat berkempen, pegawai-pegawai saya dan diri saya sendiri.
“Namun, hakikatnya telah ada mereka yang dijangkiti Covid 19 ketika berada di negeri Sabah. Ini sesuatu yang amat mendukacitakan kita,” katanya. – Malaysiapost

