PRU15: Radzi nafi desas-desus bakal bertanding kerusi Parlimen Putrajaya

0
2

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menjelaskan kekerapan beliau menghadiri majlis di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya tidak mempunyai kaitan dengan desas-desus beliau akan bertanding di Parlimen itu.

Radzi berkata, pemilihan Putrajaya adalah kerana lokasi itu bersesuaian dengan program dianjurkan kementeriannya dan bukan sebab lain.

“Program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diadakan (di Putrajaya kerana) kita ada banyak program, jadi perlu mencari lokasi berdekatan bagi memudahkan pergerakan (dari satu program ke program lain). Itu sangat penting.

“Sebagai contoh, sepanjang Ogos hingga September, hampir setiap hari kita laksanakan pelancaran perkara baharu yang dibuat di bawah KPM.

“Misalnya hari ini saya ada program pagi di sini (Putrajaya), nanti petang ada satu lagi program. Jadi program yang sudah disusun itu padat, kita pilih lokasi bersesuaian,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pelantar pembelajaran digital (DELIMa) KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1), hari ini.

Radzi menyertai Bersatu pada 2018 dan dilantik Ketua Bahagian Ketereh serta bekas Ketua Penerangan Bersatu.

Difahamkan lebih lima program dihadiri Radzi sejak minggu lalu termasuk pada hujung minggu yang diadakan di Putrajaya.

Sebelum ini, timbul desas desus berhubung Radzi yang dikatakan akan dicalonkan di Parlimen Putrajaya bagi merampas kerusi milik Barisan Nasional (BN) sejak 2004 itu.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memegang kerusi itu selama empat penggal dengan majoriti kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu berjumlah 3,372 undi.

Beliau memperoleh 12,148 undi menewaskan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi 3,634 dan 8,776.

Radzi yang ketika itu bertanding di Parlimen Ketereh, kalah di tangan penyandang kerusi itu, Tan Sri Annuar Musa yang memperoleh majoriti 4,626 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here