DATUK Zaid Ibrahim menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) “tampil memberitahu kebenaran” berhubung hasil siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Ghazali.
Menurut bekas Menteri Undang-Undang itu, beliau runsing dengan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menyatakan kertas siasatan SPRM tidak berada dengan AGC, sambil menyifatkan maklum balasnya kepada media sebagai “tiada jawapan”.
Zaid juga mendesak SPRM menjelaskan sama ada salinan laporan yang dikatakan bocor berhubung siasatan terhadap Mohd Nazlan sahih.
“Ia terpulang kepada SPRM sekarang untuk mengesah atau menafikan kesahihan itu (dokumen bocor). Ia juga terpulang kepada peguam negara supaya bercakap benar, tiada apa-apa yang tidak benar melainkan benar belaka.
“Saya juga ingin mengetahui apa kata benteng besar keadilan, Majlis Peguam, berhubung perkara itu,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Tambah Zaid lagi, semua pihak perlu menghormati dan menegakkan undang-undang dan bukan melanggarnya.
Semalam, Idrus ketika ditemui pada Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC, memberitahu kertas siasatan kes membabitkan Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC
Mei lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
SPRM berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini berkata siasatan terhadap Mohd Nazlan adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.
Ia susulan Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.
Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula berkata, artikel ditulis Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas. – Malaysiapost

