MAKTAB Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan mengambil tindakan disiplin dan memindahkan beberapa pelajarnya yang dilaporkan membuli seorang pelajar perempuan maktab itu, baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah yang menjelaskan ia dibuat tanpa didedahkan kepada umum bagi memastikan MRSM terus menjadi pusat pembelajaran yang kondusif dan selamat.
“Walaupun kes itu terpencil, MARA tidak berdiam diri dan tindakan sudah diambil dengan memindahkan pelajar yang membuli ke tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, tular di Facebook seorang wanita mendakwa anaknya dibuli di MRSM berkenaan sejak Jun lalu dan pihak asrama dikatakan lambat bertindak menangani isu itu.
Susulan itu, wanita berkenaan membuat laporan polis dan merujuk anaknya ke hospital kerana pihak asrama menyatakan anaknya mengalami masalah keresahan.
Wanita itu mendakwa baju sekolah anaknya digunting dan diconteng, selain rambut digunting ketika tidur serta mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM itu.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius kes itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku, termasuk kes buli.
Mahdzir berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu. – Malaysiapost

