Rafizi teliti dulu maklumat, jangan terlalu ghairah bongkar korupsi – Che’gu Bard

0
2

PEMIMPIN Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin menasihatkan Rafizi Ramli jangan terlalu ghairah membongkar korupsi sehingga tidak meneliti dahulu maklumat yang ingin didedahkan.

Teguran itu berkaitan pendedahan Timbalan Presiden PKR itu yang mendakwa individu bernama Zainab Mohd Salleh terlibat dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) adalah isteri kedua Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Beliau berkata, kesilapan meneliti kesahihah akan mengakibatkan fitnah, memangsakan orang yang tidak bersalah serta cara hentam kromo itu akan melepaskan penjenayah sebenar.

Katanya, Rafizi juga cuai dalam meneliti dokumen apabila nama dinyatakan dalam kenyataan hari ini bukan nama sebenar Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

“Semua dokumen rasmi seperti daftar niaga dan sebagainya sudah tentu menulis nama dalam dokumen pengenalan seperti pasport atau kad pengenalan. Maka apabila menyatakan kewujudan daftar syarikat atas nama Abdul Latiff Ahmad bersama Zainab Mohd Salleh maka ia bukan Dr Abd Latiff Ahmad.

“Benar LCS menjejaskan kedaulatan, keselamatan dan melibatkan kehilangan wang negara, adalah bagus didedahkan tapi jangan main “lambung” maklumat tak sahih.

“Keghairahan tak tentu hala Rafizi akan menyebabkan usaha ramai pihak dalam membongkar skandal LCS akan sedikit sukar,” ujarnya.

Terdahulu hari ini Rafizi mendakwa isteri kepada menteri dalam barisan Kabinet antara salah seorang pemilik syarikat yang didakwa menyeleweng dana projek LCS bernilai RM1.7 bilion.

Beliau berkata, semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited dimiliki wanita bernama Zainab Mohd Salleh, isteri kedua kepada Abd Latiff.

Bagaimanapun, Abd Latiff dalam kenyataan menafikan wanita bernama Zainab Mohd Salleh seperti didedahkan Rafizi Ramli berkaitan penyelewengan LCS adalah isterinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here