‘Tiada satu pun sumbangan dana politik masuk ke akaun peribadi saya’ – Zahid

0
2

Nahar Tajri

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak pernah mengambil kesempatan terhadap sumbangan dana politik yang disalurkan kepadanya melalui Yayasan Akal Budi walaupun boleh berbuat demikian sebelum ini.

Malah katanya, kesemua sumbangan itu dikreditkan ke akaun pemegang amanah di firma guaman Tetuan Lewis & Co yang dilantik untuk menguruskan dana berkenaan bagi tujuan kebajikan, wakaf dan keagamaan.

Katanya, beliau boleh mengambil kesempatan untuk memasukkan sumbangan berkenaan ke akaun peribadinya kerana dana berkenaan berstatus sumbangan politik tetapi tidak melalukannya atas dasar integriti.

“Tiada satu pun sumbangan dana politik yang diterima dimasukkan ke akaun peribadi saya.

“Saya boleh ambil kesempatan untuk masukkan ke dalam akaun peribadi saya atas nama dana politik.

“Ini tidak berlaku sebaliknya sumbangan itu masuk ke akaun pemegang amanah Lewis & Co,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Abdul Malik Ayub di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid menjawab soalan berhubung derma politik bernilai RM5 juta dan RM1 juta dalam bentuk cek yang diterima Yayasan Akal Budi (YAB) daripada Chew Ben Ben berdasarkan pertuduhan ke-15.

Ahmad Zahid sebelum ini menegaskan sumbangan berkenaan adalah dana politik dan bukan rasuah berhubung kontrak KDN kepada syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi diberitahu, dua keping cek berjumlah RM6 juta yang diberi kepada Yayasan Akalbudi, milik Ahmad Zahid adalah sumbangan politik dan bukan suatu suapan.

Peguam, Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Ahmad Zahid menegaskan, cek itu diterima daripada Ben Ben dan diserahkan kepada Lewis & Co iaitu pemegang amanah bagi Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here