‘Jangan babitkan ibu saya, Zainab isteri kepada Dr Noor Azmi’

0
1

PERSOALAN mengenai siapa individu bernama Zainab Mohd Salleh yang dikatakan pemilik syarikat Alizes Marine Limited kini menjadi tanda tanya.

Ia selepas Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menafikan Zainab adalah isterinya seperti didakwa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam pendedahannya berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Terbaharu, seorang pengguna Twitter Syaza Nazura yang juga anak kepada Zainab menjelaskan ibunya bukan isteri kedua kepada Abdul Latif.

Syaza berkata, ibunya adalah isteri kepada Dr Noor Azmi Mat Adenan, seorang pakar perubatan yang berkhidmat Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC).

“Zainab Mohd Salleh dalam Paradise Papers merujuk kepada pasangan Ahli Parlimen Mersing dan bukannya CFO (Ketua Pegawai Kewangan) Dialog Group Berhad seperti yang anda nyatakan.

“Zainab (CFO) berkahwin dengan Dr Noor Azmi (gambar).

“Sila tarik balik kenyataan anda dan keluarkan permohonan maaf secara terbuka,” tulisnya.

Sementara itu, Group CFO of Dialog Group Berhad dalam kenyataan di Facebook, menjelaskan identiti Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Setiausaha Syarikat Bersama mereka, Zainab Mohd Salleh telah disalah guna sebagai pemegang saham Alizes Marine Limited.

“Beliau merupakan pasangan kepada Dr Noor Azmi Mat Adenan, Pakar Perunding Ginekologi-Onkologi di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC).

“Sebarang tuduhan palsu atau kenyataan mengelirukan yang dikeluarkan dan/atau ditujukan kepada Dialog Group Berhad, anak syarikatnya termasuk pengarah dan/atau pekerjanya tidak akan dipandang ringan,

“dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan berkenaan dengan tuduhan atau kenyataan mengelirukan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Abd Latiff menafikan wanita bernama Zainab Mohd Salleh seperti didedahkan Rafizi Ramli berkaitan penyelewengan LCS adalah isterinya.

Nama Zainab disebut sebagai antara salah seorang pemilik syarikat yang didakwa menyeleweng dana LCS yang bernilai RM1.7 bilion.

“Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin Umno sebelum menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum 2018.

“Laporan siasatan dalaman projek LCS juga secara jelas menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad,” kata Rafizi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here