KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) menyeru Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) agar meningkatkan prestasi Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang.
Beliau berkata, ini kerana kedua-dua pelabuhan yang berada di bawah kendalian LPJ itu, merupakan pintu masuk yang penting bagi negara atau ‘Malaysia Southern Gateway’ yang membawa banyak manfaat kepada Keluarga Malaysia.
“Pada tahun lalu, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah berjaya mengendalikan 11.2 juta TEUs dengan peningkatan sebanyak 14% berbanding tahun 2020.
“Saya harap pada tahun ini PTP mampu mengekalkan momentum ini. Begitu juga dengan Pelabuhan Pasir Gudang, diharapkan terus kekal sebagai hab komoditi terutamanya tempat penyimpanan minyak kelapa sawit terbesar di dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Ka Siong berkata, beliau berharap LPJ dapat memecahkan rekod terbabit atau sekurang-kurangnya dapat mengekalkan prestasi yang cemerlang walaupun pelabuhan-pelabuhan di seluruh dunia sedang menghadapi cabaran dan kesan sampingan akibat peperangan Russia-Ukraine.
Terdahulu, Ka Siong menyempurnakan Majlis Pelancaran Program CSR LPJ Cares Keluarga Malaysia di Pasir Gudang, Johor.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan cermin mata kepada pelajar sekolah serta topi keledar kepada LPJ, PTP, Sekolah dan Ketua Kampung Pasir Gudang, sebagai antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPJ.
“Syabas dan tahniah LPJ kerana telah dan akan melaksanakan banyak program bagi menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat terutamanya golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“MOT amat menghargai usaha-usaha sebegini yang seiring dengan usaha kerajaan yang berterusan membantu rakyat kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan,” katanya. – Malaysiapost

