PAS perlu buka minda, kembali ke landasan asal perjuangan

0
2

Ben Ibrahim

SUDAH sampai masa pemimpin dan penyokong PAS kembali ke landasan Islam sebenar dan membuka minda dengan menolak kerjasama dengan parti yang terpalit dengan rasuah.

Timbalan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Zuraidi Ismail berkata sikap pimpinan PAS untuk kekal bersama dengan parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan dalam masa sama masih cuba mempertahan Muafakat Nasional (MN) dilihat sebagai tidak konsisten dan tidak berintegriti.

“Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyarankan penyokong Pakatan Harapan (PH) mengundi parti itu untuk merampas Pahang dan hari ini saya mengajak penyokong PAS pula untuk memilih PH jika betul-betul berhasrat menguasai Pahang.

“Saya nak ingatkan Ahmad Fadhli dan pimpinan PAS yang lain, kembalilah kepada landasan Islam sebenar dan bukan hanya menggunakan slogan Islam semata-mata.

“Begitu juga dengan penyokong mereka (PAS), perlu berani buat perubahan dan mengundi PH untuk menjadikan Pahang sebagai negeri maju dan mempunyai integriti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Ahmad Fadhli pada 16 Ogos lalu mengeluarkan kenyataan meminta semua penyokong PH di Pahang mengundi PAS dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) untuk menukar kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Bagaimanapun, pelawaan ahli Parlimen Pasir Mas itu ditolak Pemuda PH Pahang dan menganggap kenyataan dibuat Ahmad Fadhli sebagai tidak kena dengan masa.

Zuraidi yang juga pengerusi penyelaras hal ehwal Parlimen Indera Mahkota turut menyifatkan sikap dan pendirian PAS yang sering berubah juga menjadikan parti itu sukar dipercayai.

Katanya, tindakan PAS dan pimpinan mereka sejak akhir-akhir ini memberi kesan kepada keyakinan pengundi terhadap pendirian sebenar parti itu.

“Saya tidak pasti apa kelebihan mereka (PAS) dan saya percaya penyokong PH bukanlah jenis ‘pak turut’ dan tidak taksub secara melulu.

“Kami (penyokong PH) sudah tahu menilai dan memilih pemimpin mana yang rasuah dan pemimpin mana yang bersungguh-sungguh melawan rasuah,” katanya lagi.

Dia turut menyatakan rasa kecewa dengan rekod PAS sejak diketuai ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang.

“Presiden PAS ketika ini sangat jauh berbeza dibandingkan Almarhum tok guru (Nik Aziz Nik Mat) dan ustaz Fadzil Noor dan mereka berdua ini sangat lantang dan sentiasa konsisten menentang kebobrokan UMNO.

“Sedangkan Abdul Hadi pula dilihat begitu ‘mesra’ dengan UMNO dan sanggup memberi ‘talian hayat’ kepada UMNO dengan membuat satu pakatan untuk merampas kuasa selepas pilihan raya umum lalu,” katanya.

Zuraidi meminta pemimpin dan penyokong PAS, terutamanya di Pahang, merenung seketika agenda perjuangan asal mereka dan memberi sokongan kepada PH untuk memulihkan semula krisis kepercayaan rakyat terhadap amalan demokrasi di negara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here