Kawal budaya hedonisme dalam negara – Dewan Ulamak Pas

0
2

DEWAN Ulamak Pas Pusat menyarankan agar pihak kerajaan bertegas mengawal budaya hedonisme (keseronokan) daripada terus menjalar dalam kalangan anak muda di negara ini.

Ketuanya Datuk Ahmad Yahya, berkata penganjuran konsert artis-artis Barat mahupun tempatan yang berhibur di luar batasan agama sememangnya merosakkan pemikiran masyarakat khususnya golongan muda.

Beliau berkata, sewajarnya pasca pandemik Covid-19 yang sedang dilalui dijadikan iktibar supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan agar tidak melebihi sempadan yang ditetapkan oleh syarak.

“Tambahan lagi, penglibatan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) seolah-olah sekadar cukup syarat jika pandangan serta tegahan mereka tidak didengari oleh pihak jawatankuasa.

“Dewan Ulamak Pas Pusat menggesa supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia campur tangan dan lebih bertegas terhadap garis panduan PUSPAL,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pembawaan artis-artis luar negara apatah lagi dengan imej pendukung tegar lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dikendong bersama akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat khususnya anak muda.

“Malah, keterlibatan artis tempatan yang membawa contoh tidak baik dalam program-program dalam negara juga wajar dikekang dengan berkesan.

“Ironinya penganjuran konsert ini berlaku mendekati Hari Kebangsaan, apatah lagi dalam keadaan umat Islam baru sahaja menyambut Maal Hijrah 1444H,” katanya.

Beliau berkata, Dewan Ulamak Pas Pusat sekali lagi mengulangi gesaan supaya kerajaan mengambil berat penganjuran konsert dan penularan budaya hedonisme dalam negara ketika ini.

“Bertindak tegas hari ini atau tunggu kerosakan ‘memakan’ tiang seri negara dan agama pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here