PEGUAM Negara Tan Sri Idrus Harun mengesahkan kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tiada padanya.
Jawapan itu sekaligus mencetuskan kekeliruan mengenai keberadaan kertas siasatan SPRM itu.
Memetik laporan Malaysiakini, Idrus enggan mengesahkan kesahihan kertas siasatan yang didakwa dibocorkan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin minggu lepas.
“Tak ada dengan kami,” demikian respon Idris ketika ditanya sama ada dia boleh mengesahkan kesahihan kertas siasatan berkenaan.
Menjawab soalan lain mengenai kesahihan kertas siasatan yang dibocorkan, Idrus berkata: “Apa yang anda maksudkan tidak sahih?”
Ketika dimaklumkan bahawa pemimpin Umno mempersoalkan sama ada dokumen yang bocor itu adalah kertas siasatan yang sahih atau tidak, Idrus mengulangi: “Saya tidak tahu. Ia tak ada dengan kami.”
Pada Mei lalu, SPRM berkata ia telah menyerahkan kertas siasatan terhadap Nazlan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas mengumpul bukti berkaitan mengikut garis panduan dan prosedur yang ditetapkan.
Suruhanjaya itu berkata kini terpulang kepada AGC untuk memutuskan tindakan seterusnya.- Malaysiapost

