PEGAWAI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang lelaki dalam satu insiden di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor, di Shah Alam seperti yang tular baru-baru ini ditukarkan ke bahagian lain.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya memandang serius kejadian itu.
Menurutnya, walaupun siasatan awal mendapati terdapat unsur-unsur provokasi daripada orang awam berkenaan, namun tindakan pegawai JIM yang terlibat adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu ‘Integriti, Profesional, Mesra’.
“Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang Pegawai Imigresen yang merupakan Penjawat Awam.
“Pegawai-pegawai Imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap profesional apabila berdepan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka telah diberi latihan dan tunjuk ajar mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, JIM telah mengambil tindakan serta merta dengan menukarkan pegawai berkenaan ke bahagian lain dan kertas siasatan mengikut peraturan dan prosedur tatatertib penjawat awam juga akan dibuka oleh Bahagian Integriti JIM.
Khairul Dzaimee menegaskan, tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang bersikap tidak profesional dan dalam masa JIM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan imej dan kredibiliti JIM.
“JIM juga berasa kesal dengan tindakan provokasi yang dilaksanakan oleh orang awam berkenaan.
“Pelbagai kemudahan telah disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan atas talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad.
“Justeru, JIM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial, video berdurasi 26 saat, memaparkan seorang lelaki berang kerana dikatakan tidak mendapat layanan sewajarnya ketika membuat pasport di kaunter UTC Selangor, di Seksyen 14, Shah Alam.
Berikutan itu berlakunya pertengkaran di antara lelaki berkenaan dengan pegawai imigresen di kaunter terbabit sehingga mengeluarkan kata-kata kesat. – Malaysiapost

