“ADA kalanya kita merasa kita…keseorangan,” demikian nukilan Datuk Seri Najib Razak di laman Facebook, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu kini berdepan cabaran dalam rayuan terakhirnya kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan apabila permohonannya mengemukakan keterangan baharu ditolak.
Permohonan peguamnya untuk menangguhkan pendengaran rayuan berkenaan dan menarik diri juga ditolak mahkamah.
Najib dalam nukilan terbaharunya itu mengatakan perjalanan hidup setiap insan berbeza dan semua sentiasa berdoa serta berharap yang terbaik dalam kehidupan masing-masing.
“Adakalanya kita merasa usaha dan kebaikan yang kita lakukan sia-sia. Ada kalanya kita merasa susah hati dengan ujian dan dugaan.
“Dengan fitnah dan penganiayaan. Dengan harapan yang diakhiri dengan kegagalan. Dengan keikhlasan yang dibalas dengan pengkhianatan,” luahnya.
Najib kini merayu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Nasib Ahli Parlimen Pekan itu bakal ditentukan oleh lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Panel hakim lain adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman selepas mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Hukumannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan, namun pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonannya dan mengekalkan sabitan dan Najib kini di rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan. – Malaysiapost

