SPRM, Peguam Negara dan Ketua Hakim jangan membisu – Mohd Puad

0
1
puad zarkashi

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa pihak yang berkenaan agar tidak berterusan ‘membisu’ berhubung persoalan rakyat mengenai kertas siasatan membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang bocor dan tular baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, mendakwa tiada tindakan berhubung perkara itu dan ia seolah-olah didiamkan serta rakyat tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya.

“Apakah ‘membisu’ adalah trend keadilan di negara kita? Bukti terpampang di depan mata dibisukan. Agaknya lebih baik membisu. Buat tak tahu, jadi rakyat tidak boleh buat apa apa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, rakyat bertanya adakah laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan, seperti yang sebuah portal berita laporkan itu adalah tulen.

“Rakyat juga bertanya kepada Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) sudahkah dia baca laporan SPRM yang dihantar kepadanya pada bulan Mei. Sudah tiga bulan. Kenapa membisu juga.

“Mungkin dia belum baca laporan itu dan tidak terfikir laporan SPRM itu akan bocor. Maka sebab itu membisu,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga bertanya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat apakah kebocoran itu tidak boleh menjadi alasan agar permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bawa bukti dalam rayuan dipertimbangkan.

“Bukankah seorang Ketua Hakim patut lebih arif dengan kalimah keramat mereka “Justice must not only be done, but must also be seen to be done”. Malangnya semua membisu,” katanya.

Pada 18 Ogos lepas, penulis blog Raja Petra Kamarudin, memuat naik dokumen didakwa disediakan SPRM yang menunjukkan siasatan terhadap Mohd Nazlan telah selesai dan laporannya telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Mohd Nazlan ialah hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib pada 28 Julai 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here