PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjangkakan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) akan terus dijadikan ‘peluru’ untuk menyerang kerajaan.
Beliau juga percaya pembangkang akan menggunakan isu berkenaan seperti skandal 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, menurutnya kerajaan belum dapat memastikan lagi kesan isu berkenaan kepada parti.
“Walaupun sudah ada individu didakwa di mahkamah dan mungkin akan ada lagi turut diambil tindakan sama namun isu tersebut akan terus dimainkan,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya
Ismail Sabri berkata, beliau juga tidak tahu bila isu tersebut akan reda dan menegaskan rakyat perlu diberi penjelasan mengenainya.
“Yang penting bagi saya, ialah penjelasan kepada rakyat mengenai isu ini.
“Kegagalan kerajaan (BN) dulu apabila timbul isu 1MDB ialah gagal untuk menjelaskan perkara sebenar pada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, arahan sudah diberikan kepada Kementerian Pertahanan untuk melibatkan semua media bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku mengenai skandal LCS.
Dengan cara itu, katanya, media boleh membantu kerajaan memberikan penjelasan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui tugas tersebut tidaklah mudah, terutama apabila isu tersebut dikaitkan dengan integriti serta keyakinan orang ramai kepada tindakan kerajaan menangani sesuatu skandal.
“Bagaimanapun kerajaan yakin, rakyat percaya atau tidak, mereka mesti diberikan penjelasan, dan kita tak boleh berselindung.
“Sebab itu saya terus membuat keputusan agar laporan audit forensik itu mesti di-declassified-kan (dinyah rahsia) kerana kita mesti telus,” katanya.
Sementara itu, mengenai pilihan raya, beliau berkata, PRU-15 akan diadakan sama ada pada tahun ini ataupun tahun depan.
Katanya, dengan keadaan ekonomi yang lembab ketika ini bukanlah masa yang baik untuk rakyat mengundi, dan juga mungkin akan turut menyukarkan Umno dan kerajaan.
Tambahnya, rakyat perlu diberikan hak untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya, faktor masa yang sesuai nampaknya menjadi isu paling mendasar.
“Kalau saya kata lama lagi, marah parti saya. Parti saya nak cepat.
“Cuma saya dah sebut beberapa kali, banyak pertimbangan (perlu diambil kira) sebelum kita buat keputusan,” katanya.
Menurut Ismail Sabri sejak PRU14 sudah beberapa kali kerajaan bertukar, malah Perdana Menteri sendiri berubah sebanyak tiga kali.
“Betul, rakyat perlu diberikan ruang untuk memilih kerajaan yang baru, sebab dah tiga kali kerajaan berubah.
“Ada yang iktiraf, ada yang tak iktiraf, justeru lebih baik pulangkan mandat kepada rakyat.
“Tapi isu yang dihadapi kerajaan juga banyak dan perlu diselesaikan,” katanya. – Malaysiapost

