
TIADA keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) buat masa ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, dalam keadaan sekarang beliau seakan-akan memiliki sehingga empat timbalan merujuk kepada empat menteri kanan yang ada dalam kabinet.
“Biar dululah… kerana setakat hari ini seperti yang kita tahu saya ada empat menteri kanan yang membantu saya. Maknanya seolah-olah kita ada empat TPM,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya
Ismail Sabri berkata, keempat-empat Menteri Kanan terbabit kini mendapat keistimewaan yang hampir sama dengan jawatan TPM termasuk pasukan pengiring keselamatan.
“Mereka pun lebih kurang TPM juga,” katanya.
Tambahnya, pentadbiran kerajaan ketika ini berjalan lancar dan tidak membebankannya sehingga perlu melantik TPM.
Menurutnya, daripada semua parti yang menjadi kerajaan hanya PAS saja yang tidak mempunyai wakil sebagai menteri kanan walaupun jika melihat keadaan semasa, tambahnya, parti itu boleh membuat permintaan tersebut.
“Kalau tidak PAS pun boleh demand (menuntut) sebab kenapa ada Umno, kenapa ada GPS, kenapa ada dua dari Bersatu.
“Sepatutnya seorang dari Bersatu, seorang PAS, seorang Umno dan seorang GPS, tapi PAS tak pernah timbulkan isu ni.
“Maknanya saya rasa semua orang menerimalah (bahawa dalam kerajaan) ada sedikit kelebihan dan dan sedikit kekurangan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, beliau tidak mahu ada sesuatu isu yang dibesar-besarkan sehingga merosakkan hubungan sesama parti dalam kerajaan.
Katanya, yang ‘banyak bercakap’ mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri itu adalah ‘orang di luar’ manakala pihak dalam kerajaan tidak ada isu yang timbul. – Malaysiapost
