7 wanita asing diselamatkan, 3 majikan diberkas

0
2

SERAMAI tujuh wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa aktiviti eksploitasi buruh paksa diselamatkan dalam operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di sebuah rumah di Bandar Botanik 2, Klang, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, turut ditahan tiga majikan warga tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 33 hingga 67 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata operasi dijalankan Bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang diketuai Ketua Ketua Penolong Pengarahnya, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Klang Selatan dan JTK Cawangan Klang.

Menurutnya, tujuh wanita warga asing yang diselamatkan berusia lingkungan 30 hingga 43 tahun yang dipercayai terdedah eksploitasi buruh paksa.

“Kesemua mangsa telah dijanjikan pekerjaan tukang cuci di syarikat yang sah dan mempunyai kontrak kerja serta permit kerja yang sah semasa berada di negara asal.

“Setelah sampai di Malaysia, kesemua mangsa dipaksa bekerja sebagai tukang cuci harian yang dihantar daripada rumah ke rumah, pejabat, kilang dan tadika,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kesemua mangsa juga telah diarahkan tinggal serumah bersama majikan dan pergerakan mereka dikawal kerana pasport serta telefon bimbit dipegang oleh majikan yang tidak membenarkan mereka keluar rumah tanpa kebenaran.

Katanya, dalam operasi berkenaan, seramai 15 lagi wanita warga asing ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Majistret Mahkamah Klang telah meluluskan reman ke atas suspek selama enam hari sehingga 25 Ogos ini dan siasatan lanjut masih dijalankan serta kertas siasatan akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurutnya, pihak polis menasihatkan orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya terdapat pekerja warga asing yang dieksploitasi oleh agen pekerjaan atau majikan agar tindakan undang-undang boleh diambil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here