10 pusat hiburan diserbu, 36 individu ditahan

0
3

SERAMAI 36 individu ditahan dalam operasi bersepadu pusat hiburan di ibu negara yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain, semalam.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan (JIM).

Menurut DBKL, Operasi Bersepadu Premis Hiburan (Kelab Malam) Siri 7/2022 itu diadakan di sekitar Solaris Dutamas, Desa Parkcity, Jalan Ipoh dan Jalan Kemunting, Kuala Lumpur bermula 10 malam Jumaat dan berakhir pada jam 5.30 pagi semalam.

“Menerusi semakan dan pemeriksaan di 10 premis hiburan bersama pasukan agensi sahabat kepada pengunjung / pelanggan yang hadir oleh pihak DBKL, JAWI, PDRM dan JIM melibatkan warganegara asing dan warga tempatan.

“Pihak JAWI telah menahan 36 orang individu melibatkan 17 orang lelaki dan 19 orang wanita yang melakukan pelbagai kesalahan syariah berkaitan minum minuman memabukkan untuk tindakan lanjut.

“JAWI turut mengeluarkan 33 Surat Perintah Hadir (SPH) kepada individu beragama Islam untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559),” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, pihak DBKL pula mengenakan, tujuh premis tindakan penutupan serta-merta dan sita peralatan terhadap di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

“Tujuh kertas siasatan (IP) turut dibuka mengikut Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik/DJ) tanpa kebenaran.

“DBKL juga mengenakan dua notis kompaun kerana gagal mempamerkan lesen dan menjalankan aktiviti selain dari lesen perniagaan.

“Sebanyak 32 peralatan muzik di tujuh buah premis berkenaan disita dan kesemua peralatan muzik telah dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here