PM tiada isu dengan Presiden Umno

0
3

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak sebarang persepsi yang cuba mengaitkan beliau kepada perjalanan perbicaraan rasuah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau bagaimanapun menyifatkan hubungannya dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai amat rapat dan tidak timbul sebarang isu peribadi antara mereka.

“Presiden saya dengan saya tiada isu. Saya tiada isu. Saya kenal presiden dah lama, waktu saya sekolah lagi. Presiden macam abang saya dan kawan baik. Kalau saya ponteng sekolah pun tumpang tidur bilik dia. Saya kenal keluarga dia. Isu peribadi tidak timbul. Orang luar sahaja yang bercakap soal pecah dalam Umno ini.

“Jadi kalau orang nak kata saya ‘drag’ (heret) kes dia, sampai dia kena, tak kena; itu kita tak tahu. Itu (hak) mahkamah pun. (Hanya) Mahkamah boleh buat keputusan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara bersama beberapa media lain sempena setahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Ismail Sabri ditanya mengenai spekulasi bahawa beliau mengambil kira “pergolakan dalam parti” dan isu beliau dengan Zahid dalam perkiraan pilihan raya, kononnya kes-kes mahkamah akan “diheret” untuk peluang beliau sendiri.

Pada wawancara itu, beliau turut menegaskan berpegang kepada pendirian Umno-Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara bersendirian pada PRU15.

“Parti sudah buat keputusan. Kita akan ‘go solo’. Maknanya, kita akan pergi sendiri. Kita akan bersama dalam kerajaan seperti ini sehingga pilihan raya. Setakat hari ini lah. Tapi ‘direction’ parti saya tak boleh nak cakap lebih. Sebab saya nombor tiga (dalam parti sebagai naib presiden), saya ada bos. Soalan itu perlu (diajukan) kepada presiden parti saya,” katanya.

Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno dibentuk pada Ogos tahun lalu dengan sokongan BN, Perikatan Nasional (PN), dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak serta Ahli Parlimen bebas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here