Perlukah semua ke sana sehingga bahaya kita di sini? – Mufti Perlis

0
2
KANGAR, 2 Feb -- Mufti Kerajaan Negeri Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika ditemui BERNAMA di pejabatnya di sini hari ini. Mohd Asri sekali lagi dilantik sebagai Mufti Negeri Perlis berkuatkuasa 1 Februari 2015 bagi menggantikan Dr Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya pada tahun lalu. Mohd Asri yang memiliki ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam Pendedahan Pengetahuan dan Warisan (Al-Quran dan Sunah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum ini pernah dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Dr Juanda Jaya. -- fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

Muhammad Mustakim Ramli

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyelar tindakan pihak tertentu melanggar prosedur operasi standard (SOP), menyebabkan kes Covid-19 meningkat.

Paling mengecewakan, katanya, tindakan segelintir ahli politik tanpa mengira parti yang selalu berbicara tentang kononnya ‘kepentingan rakyat’ tetapi ramai dalam kalangan mereka melanggar SOP.

“Sakit dan sembuh adalah takdir Allah. Namun, Allah menempatkan sebab musabab bagi kejadian dalam kehidupan manusia. Mematuhi SOP adalah salah satu sebab musabab yang boleh mengelakkan Covid-19.

“Namun, jika hanya setengah yang patuh dan setengah lagi tidak, maka sebab musabab Covid-19 merebak akan terus berlaku ke semua peringkat dan kena kepada semua,” katanya menerusi Facebook.

Dr Mohd Asri berkata, kawasan wabak jangan dimasuki dan jika sudah masuk, wajib kuarantin diri.

“Itu SOP diajar oleh Nabi dan dipersetujui sekelian manusia tanpa mengira agama. Jika ada yang tidak patuh, maka akan menjadi mangsalah mereka yang patuh dan sekalian mereka yang menjaga segala peraturan.

“Pimpinan kerajaan yang menetap SOP, mereka amatlah wajar mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan oleh mereka sendiri.

“Demikian juga segala orang politik tanpa mengira parti yang selalu berbicara tentang kononnya ‘kepentingan rakyat’. Begitu ramai mereka yang ke sana berkempen dan pulang tanpa mematuhi SOP,” katanya.

Beliau berkata, hari ini semua berada dalam kebimbangan, mesyuarat yang dihadiri, terpaksa bertanya, apakah anda telah mempunyai kontak dengan menteri dan orang politik yang ke Sabah baru-baru ini?

“Lihatlah, betapa ramai kakitangan kerajaan terdedah kepada bahaya kerana politik orang lain.

“Persoalan kita, perlukah semua orang politik ke sana? Perlukah semua menteri, semua kepimpinan parti, semua yang berjawatan dalam parti turut serta? Cacatkah kempen tanpa mereka?,” katanya.

Katanya lagi, lebih ganjil, ada orang politik yang di Semenanjung pun tidak begitu berfungsi dan berpengaruh, cuba membina pengaruh di Sabah.

“Ada yang dalam negeri sendiri atau kawasan sendiri selalu menghilangkan diri, tiba-tiba muncul dan sibuk di Sabah.

“Jikalau itu masalah peribadi mereka dan parti mereka sahaja tidaklah mengapa. Namun, ia telah menjadi masalah rakyat dan masalah kita semua pekerja yang bekerja untuk negara.

“Nak ke pejabat pun kita sudah bimbang,” katanya yang turut mendoakan semoga Allah menyelamatkan negara ini. – Malaysiapost