Sebar maklumat peribadi, wakil ADUN Maharani mahu ambil tindakan

0
1

WAKIL Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar maklumat berhubung status kesihatan wakil rakyat terbabit yang disahkan positif Covid-19.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ADUN Maharani, berkata pihaknya sudah mengenalpasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat itu.

“PKWR ADUN Maharani mengambil maklum penularan mesej tentang status kesihatan ADUN Maharani, Nor Hayati Bachok, yang turut mendedahkan maklumat peribadi beliau dan keluarga.

“Kami telah mengenalpasti individu yang mula menyebarkan mesej tersebut dan telah membuat laporan polis serta bakal kami susuli dengan tindakan undang-undang.

“Pihak kami menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadi beliau dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut kenyataan itu, ADUN dari Parti Amanah Negara (Amanah) terbabit kembali dari Sabah pada 26 September lalu dan disahkan negatif pada ujian saringan kali pertama.

Katanya lagi, walaupun tiada sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kuarantin atau pengasingan, Nor Hayati telah mengambil inisiatif kuarantin kendiri di rumah dan mengasingkan diri.

“Beliau telah menjalani ujian saringan kedua pada 4 Oktober dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya pada 5 Oktober.

“Pihak kami berdukacita dengn perkhabaran bahawa beliau didapati positif Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan.

“Namun begitu, beliau sentiasa mematuhi segala arahan KKM dan pihak kami sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam mencegah penularan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya memohon maaf kepada semua yang terkesan walaupun segala langkah kuarantin di rumah dan pencegahan telah dipatuhi sepanjang tempoh ini. -Malaysiapost