PENGALAMAN pelakon dan pengacara Nabila Huda dijangkiti Covid-19 selama dua kali mengakibatkan paru-parunya mempunyai kesan parut.
Bekas pengacara Melodi itu mendedahkan kesan selepas dua kali dijangkiti Covid-19 menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, semalam.
Bagaimanapun, Nabila atau mesra disapa Abil memaklumkan tiada masalah atau komplikasi serius, namun perkara itu amat membimbangkannya.
“Paru-paru saya ada parut disebabkan Covid-19. Tapi tak besar, kecil saja di bahagian atas. Doktor cakap tiada apa-apa, tapi bila organ kita dah cacat sedikit, saya jadi risau sebab dah tak sempurna macam dulu.
“Sebab organ kita dijadikan sempurna, tapi kalau dah kacau sikit mungkin boleh pergi ke arah penyakit lain. Itu yang saya fikir. Tapi tidaklah terlalu risau. Reda dan teruskan hidup macam biasa. Tiada apa yang boleh kembalikan dan menjadi sempurna seperti dulu. Parut itu kekal ada di situ,” tulisnya.
Nabila berkata, dia mengambil serius perkara membabitkan kesihatan dan kerap memikirkan risiko yang bakal terjadi kepadanya.
“Saya kalau benda macam kena-mengena dengan dalaman ini saya sangat risau. Sebagai contoh, kita potong usus atau apa saja, saya selalu terbayang jika saiz itu diubah dan itulah kejadian asalnya, apa kesan yang bakal berlaku apabila sudah tua nanti.
“Perkara itu pun saya dah berfikir jauh, inikan paru-paru ada parut. Tapi apapun saya reda sebab dah tertulis perjalanan hidup kita begini. Sakit itu pasti akan datang. Tapi berdoalah kita dijauhi sakit yang kita tak boleh nak kawal.
“Namun, perkara yang paling menarik selain terdapat parut di paru-paru yang buat saya risau, doktor maklumkan anggota dalaman lain seperti buah pinggang, hati, jantung, darah dan kolestrol semuanya cantik,” katanya.
Pemilik nama penuh Nur Nabila Huda Suhaimi, 37 itu sebelum ini pernah mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-19 sekitar Mei tahun lalu dan menjalani tempoh kuarantin kendiri di rumah.
Pada Mac lalu, Nabila mengesahkan dirinya positif virus tersebut buat kali kedua, dan memaklumkan simptom yang dialaminya lebih serius berbanding jangkitan pertama. – Malaysiapost

