Dasar, kejayaan kerajaan perlu dijelas kepada rakyat elak keliru,

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dasar kerajaan dan kejayaan pelaksanaannya perlu diperjelas kepada rakyat supaya tidak keliru dengan fitnah dan kempen anti-kerajaan.

Perdana Menteri berkata, penjelasan mengenai kedua-dua perkara itu juga harus dipertingkatkan supaya rakyat mendapat maklumat tepat, lapor Bernama.

Katanya, program seperti ‘Jom Masuk Kampung’ antara platform sangat baik untuk menjelaskan kepada rakyat dasar kerajaan, selain mampu merapatkan silaturahim penduduk sejajar aspirasi Keluarga Malaysia.

“Banyak dasar diumumkan kerajaan dan kejayaan yang dicapai kerajaan, tetapi apabila ia tidak dijelaskan kepada rakyat, rakyat keliru, terutamanya apabila ada kempen anti-kerajaan atau pelbagai fitnah (terhadap kerajaan).

“Ini boleh menyebabkan rakyat keliru dan mereka (rakyat) tidak boleh dipersalahkan apabila keliru kerana informasi tidak sampai kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jom Masuk Kampung dan Hari Potensi Kemas Daerah Bera 2022 di Felda Triang 3.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) turut memainkan peranan penting selain menyediakan menyediakan pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, susulan itu kerajaan memperuntukkan RM140 juta tahun ini bagi Program Bantuan Makanan Tambahan (PBMT) untuk kanak-kanak di Tabika dan Taska di seluruh negara.

Katanya, program itu memberi manfaat kepada 225,281 kanak-kanak di TABIKA dan 9,716 kanak-kanak di TASKA kendalian Kemas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here