PRU15: Jangan termakan hasutan pembangkang – Zahid

0
2

RAKYAT diingatkan supaya berhati-hati dan berwaspada agar ‘tidak termakan’ dengan hasutan dan manipulasi pembangkang terhadap Barisan Nasional (BN) sehingga mempengaruhi undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setiap hari semakin banyak kisah dengan pelbagai cerita hasutan baharu direka cipta sudah mulai timbul.

“Namun, saya tidak pernah jemu untuk sentiasa dan terus mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia perlu berhati-hati pada kali ini.

“Perlu ingat tugas lawan Barisan Nasional (BN) adalah menghasut. Hari-hari mereka menghasut. Tentunya kebisingan politik yang direncanakan mereka ketika ini juga sebahagian daripada anasir menghasut. Politik mereka berteraskan hasutan.

“Semasa jadi pembangkang mereka menghasut, semasa jadi kerajaan masih menghasut dan kembali sebagai pembangkang terus menghasut.

“Menghasut fikiran rakyat dengan menimbulkan keresahan dan perasaan kurang senang serta kebencian seperti mereka lakukan pada PRU14,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang berusaha selagi boleh mengilustrasikan persepsi kurang baik terhadap BN dan sebaliknya ‘mempersepsikan’ mereka sebagai cemerlang.

“Bezanya cuma satu iaitu semasa menjadi kerajaan mereka memiliki kuasa dan pengaruh untuk memudahkan mereka melaksanakan hasutan.

“Ironinya rakyat telah pun merasai kegagalan pentadbiran mereka dan menyedari hasutan mereka. Mungkin sebab itu mereka kini menghasut dengan lebih kuat.

“Justeru, rakyat yang akan mengundi pada PRU15 yang menjadi sasaran perlu lebih berwaspada apabila didatangi hasutan mereka,” katanya.

Tambahnya, pengalaman sebelum ini seharusnya mendewasakan, selain perlu mengerti cara mereka memanipulasi sesuatu isu untuk menyemai kebencian.

“Ambillah iktibar natijah hasutan mereka kepada rakyat dan negara selepas PRU14. Usah diulangi kekhilafan yang pastinya kita tidak berhasrat berulang.

“Fahamilah BN terus berjuang selepas 9 Mei 2018 kerana sayangkan rakyat dan negara. Terlalu banyak yang baik perlu kita bersama kembalikan pada PRU15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here