SEORANG ustaz dan tiga warden pusat pemulihan dadah di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak yang disyaki terbabit menyebabkan kematian seorang penghuni pusat itu Rabu lalu direman tujuh hari, bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Taiping, Adibah Abdul Kadir, bagi membolehkan siasatan dibuat ke atas keempat-empat lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, lapor Berita Harian.
Empat suspek berkenaan berusia antara 20 hingga 27 tahun tiba di perkarangan Mahkamah Taiping kira-kira jam 9.40 pagi tadi menaiki van polis dengan memakai baju lokap sebelum proses permohonan reman mereka selesai kira-kira sejam kemudian.
Polis mengklasifikasikan kematian penghuni terbabit sebagai kes bunuh selepas hasil bedah siasat yang selesai dijalankan kelmarin mendapati sebab kematian mangsa, Muhammad Shahrul Samion, 25, disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada serta pelbagai otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.
Mangsa sebelumnya dikatakan mengamuk termasuk mencederakan warden, selain cuba mencederakan diri sendiri susulan cubaannya melarikan diri di pusat pemulihan itu gagal.
Maklumat awal kejadian diterima daripada doktor bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar yang memaklumkan mangsa yang sudah tidak bernyawa dibawa ke hospital berkenaan pada malam Rabu lalu oleh empat suspek berkenaan.
Ujian X-Ray dilakukan sejurus mangsa dibawa ke hospital mendapati terdapat kesan luka di bahagian dahi dan kesan lebam pada muka, mata kiri, dada, kedua-dua kaki, serta tangan mangsa.
Kecederaan itu dikatakan terhasil pergelutan antara warden di pusat berkenaan, selain cubaan mangsa melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan setinggi lapan meter serta tindakan mangsa menghentak kepala ke lantai ketika dikurung di sebuah bilik pusat itu. – Malaysiapost

