HENTIKAN segera serangan peribadi terhadap lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan rayuan kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan itu bukan sahaja tidak beretika malah ia turut menganggu sistem badan kehakiman negara.
“Lebih malang lagi serangan secara terbuka di media sosial itu juga mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara.
“Serangan peribadi terhadap para hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata, beliau yakin serangan itu sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara.
“Secara peribadi, saya berpandangan badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan.
“Maka, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi,” katanya.
Walaupun demokrasi tidak menghalang hak rakyat daripada bersuara dan memberi kritikan, namun katanya, ia tidak bererti mana-mana individu boleh melakukan serangan secara peribadi.
“Apatah lagi disulami dengan niat jahat untuk kepentingan pihak tertentu.
“Justeru, badan kehakiman seharusnya diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan demi kedaulatan undang-undang yang dijunjung.
“Setiap daripada rakyat negara ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan integriti institusi badan kehakiman senantiasa dipertahankan,” katanya. – Malaysiapost

