Jangan undang murka Allah SWT

0
2
https://www.utusan.com.my/berita/2021/11/ucapan-dalam-bahasa-melayu-di-persidangan-antarabangsa-serlah-jati-diri-nasrudin/

Nasrudin Hassan

SEPERTINYA tiada istilah rasa serik dan insaf. Sedang mereka telah hadapi musibah pandemik Covid-19 selama lebih dua tahun.

Takut dan resah hanya seketika dirasai oleh mereka. Ketika dilanda musibah. Masa itulah semua berpakat untuk ingat tuhan. Solat hajat, qunut nazilah dan sebagainya mohon Allah angkat segala musibah.

Bila keadaan negara kembali pulih, (biarpun belum sepenuhnya) maka mereka kembali galak mengundang murka Allah SWT dengan aktiviti yang melalaikan. Lupa peringatan Allah SWT:

“Dan tidaklah kehidupan dunia melainkan hiburan melalaikan dan permainan sedang sesungguhnya akhirat itulah kehidupan yang sebenar-benarnya jika mereka mereka mengetahui.” Surah Al Ankabuut : 64

Dulu pernah sekali negara dilanda tsunami. Masa itu, semua insaf. Konsert hiburan dibatalkan. Ganti dengan majlis tazkirah, selawat tahlil dan sebagainya. Berlalu beberapa masa, mereka kembali lupa dan mula tenggelam dalam hiburan yang melalaikan.

Inilah sifat sebahagian manusia yang sangat mendukacitakan. Benar apa yang disebut oleh Allah SWT:

“Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), *mereka mohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah selamatkan mereka (naik) ke darat, mereka kembali syirik kepadaNya.” Surah Al-Ankabuut : 65

Saya mengingatkan semua umat Islam, termasuk diri saya. Agar sedar bahawa kini kita benar-benar berada di akhir zaman. Banyakkanlah amal ibadah kepada Allah SWT. Hindari perkara yang lagha dan melalaikan. Jauhkan diri dari maksiat dan mungkar.

Jangan tunggu datang musibah, meragut ribuan nyawa, baru nak insaf semula. Allahu Akbar! Jangan cabar Allah SWT. Jangan undang kemurkaanNya.

Masa pandemik, kecoh tak dapat solat berjemaah di masjid. Sekarang sudah boleh berjamaah, masjid surau masih lengang. Masuk masjid tak kena tiket pun. Konsert hiburan pula dikunjung puluhan ribu walau tiketnya mahal.

Saya difahamkan seawal jam 10 pagi, ribuan peminat Billie Eilish telah mula beratur di Axiata Arena Bukit Jalil untuk mendapatkan tempat dalam konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 yang berlangsung pada 18 Ogos yang lalu.

Konsert itu disertai 25,000 penonton dengan harga tiket serendah RM308 hingga RM598 tidak termasuk yuran tiket dan caj tempahan.

Saya diberi maklumat, banyak lagi konsert hiburan yang bakal dianjurkan di Malaysia Tahun 2022 ini. Sebahagiannya melibatkan artis yang menyokong LGBT.

• 10 September 2022 – Dewa 19
• 1 Oktober 2022 – Fourtwnty
• 15 Oktober 2022 – Boys Like Girls
• 25 Oktober 2022 – Justin Bieber
• 27 Oktober 2022 – Calum Scott
• 3 November 2022 – Russ
• 6 November 2022 – LANY
• 25 November 2022 – Boy Pablo
• 2 & 3 Disember 2022 – Keshi

Tidak cukup dengan artis tempatan, mereka bawa masuk begitu banyak konsert artis dari luar negara.

Ragam artis dalam negara pun tidak mudah untuk ditangani. Baru-baru ini viral video majlis tarian dangdut yang mengiurkan dan tidak senonoh di satu majlis aqiqah. Sungguh hina dan jijik.

Saya menyeru agar umat Islam menghindari kelalaian ini. Malah bangkit membantahnya. Saya juga merayu agar pihak berkuasa tidak membenarkan sebegini banyak konsert hiburan dianjurkan dalam negara kita.

Masih ada cara untuk menghiburkan masyarakat kita tanpa mengheret mereka dalam kelalaian yang mengundang murka Allah swt.

Contoh Konsert Kesenian Islam, konsert Selawat perdana dan lainnya boleh dianjurkan banyak-banyak dan saya percaya ia akan mendapat sambutan dan memulangkan keuntungan kepada negara secara duniawi dan juga ukhrawinya.

Penulis adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis yang dipetik sepenuhnya dari Facebook beliau)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here