‘Jerung’ tak semestinya ahli politik

0
3

‘JERUNG’ dalam sesuatu kes tidak semestinya merujuk kepada ahli politik, sebaliknya ia boleh diguna pakai kepada individu yang mempunyai kemampuan serta pengaruh kuat untuk melakukan penyelewengan.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata andaian ‘jerung’ itu merujuk kepada pemimpin politik tidak begitu tepat.

“Penyelewengan ataupun salah tadbir urus dan sebagainya mestilah membabitkan arahan daripada ‘jerung’, daripada menteri ataupun daripada Perdana menteri.

“Ini satu andaian yang tak semestinya tepat,” katanya dalam klip video di Facebook miliknya.

Shahril berkata demikian mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan ‘jerung’ itu adalah pemimpin politik dalam kes penyelewengan pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) yang sehingga kini tiada ahli politik didakwa.

Pada 16 Ogos lalu, bekas pegawai kanan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang juga bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa dengan pertuduhan pecah amanah jenayah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur .

Ahmad Ramli adalah bekas pengarah urusan dan naib pengerusi eksekutif BNS.

Dia didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, didakwa melibatkan RM21.08 juta

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Sementara itu Shahril mengakui terdapat unsur penyelewengan dalam kes LCS setelah membaca laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Namun Naib Ketua Pemuda Umno itu meminta semua pihak menunggu sehingga siasatan akhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita boleh kritik keputusan, tetapi tidak semua kesalahan ataupun kelemahan keputusan itu mesti ada unsur rasuah daripada menteri. Perkara ini, sekali lagi kita perlu tunggu siasatan akhir, baru kita buat pengadilan.

“Tapi lawan kita dalam keseronokan dan mereka cuba untuk mencemar Umno/BN ini 100 peratus dan label ini ‘jerung’, ini ‘ikan bilis’ dan sebagainya.

“Yang didakwa di mahkamah baru-baru ini, bekas panglima TLDM itu bukan ‘ikan bilis’, namanya pun panglima TLDM. Sekali lagi, saya tidak kata beliau bersalah kerana baru didakwa. Kita perlu konsisten. Orang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Semasa zaman Pakatan Harapan (PH) pun ada juga kes-kes rasuah yang membabitkan perolehan kerajaan. Tiada pula kita kata wajib 100 peratus mesti menteri yang terbabit,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here