PDRM kenang wira Lahad Datu

0
3

HARI ini, tanggal 1 Mac 2023, genaplah sedekad insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah yang mengorbankan 10 wira negara.

Ia terpahat sebagai sejarah dan detik hitam terutama kepada ahli keluarga yang terkorban ketika menjalankan tugas demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Malah, peristiwa penuh tragedi itu tidak mungkin akan luput daripada ingatan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menerusi hantaran di Instagram PDRM, pasukan keselamatan itu mengenang kembali jasa wira yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.

“Hinggalah ke hujung nyawa, merekalah wira-wira negara berpegang teguh pada janji, tiada sesiapapun boleh merampas tanah tumpah darah kami ini!,” tulisnya.

Menerusi hantaran sama, PDRM turut menzahirkan rasa terima kasih atas segala jasa, budi dan pengorbanan yang mereka taburkan.

“Damailah wahai perwira negara di negeri yang abadi. Terima kasih jua atas segala jasa, budi dan pengorbanan yang ditaburkan.

“Pastinya akan kami kenang dan perjuangkan buat selama-lamanya. Al-Fatihah dan Salam Takziah,” katanya.

Mereka yang terkorban ketika pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu ialah Asistan Superintenden Polis (ASP) Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud.

Di Kampung Simunul, Semporna, pula ialah Asisten Komisioner Polis (ACP) Ibrahim Lebar; Deputi Superintenden Polis (DSP), Michael Padel; Sarjan Mejar Detektif Baharin Hamit dan Sarjan Mejar Aziz Sarikun.

Turut terkorban ialah Sarjan Sokongan Salam Togiran dan Koperal Mohd Azrul Tukiran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here