AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengesahkan tiada halangan untuknya bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti, bulan depan.
Armand Azha berkata, perkara itu disahkan Lembaga Displin Umno yang membuat keputusan tersebut petang tadi, selepas beliau menghadiri sesi membela diri minggu lalu.
“Sebentar tadi dapat panggilan telefon daripada Lembaga Displin Umno di mana saya telah dipanggil untuk membela diri minggu lepas.
“Lembaga Displin maklumkan tiada halangan untuk saya bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno dan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Subang,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebook, hari ini.
Malah Armand Azha mengesahkan beliau tidak dikenakan sebarang hukuman sama ada digantung atau dipecat oleh Lembaga Displin.
“Ia selepas mereka melihat segala bukti dalam pembelaan dan mendapati tidak ada kesalahan yang berlaku. Cuma mereka memberi amaran kepada saya tentang kempen awal,” katanya.
Beliau yang menzahirkan rasa syukur di atas keputusan berkenaan menegaskan akan memberi fokus kepada penerangan berhubung misi dan hala tujunya sebagai Ketua Pemuda Umno sekiranya mendapat mandat kepada akar umbi.
“Masa amat cemburui kita, tempoh berkempen hanya dalam 26 hari, kini tinggal lapan ke sembilan hari saja lagi.
“Justeru, saya dengan rendah diri mohon sokongan rakan-rakan memberi undi kepada saya,” katanya.
Sebelum ini, Armand Azha mengesahkan bahawa beliau dipanggil Lembaga Disiplin parti tersebut pada 23 Februari lalu di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC). – Malaysiapost

