Saya tak merajuk – Ismail Sabri

0
3

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan beliau merajuk apabila membuat keputusan tidak mempertahan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, keputusan tersebut dibuat kerana beliau konsisten dengan pendirian bahawa semua jawatan dalam parti perlu dipertandingkan selaras perlembagaan dan idealisme Umno.

“Saya bukan merajuk, tetapi konsisten dengan pendirian saya yang tidak bersetuju dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Bila saya bertanding Naib Presiden, ia memberi makna bahawa saya bersetuju dan mengiktiraf dua jawatan tertinggi Umno tersebut tidak dipertandingkan.

“Jadi saya perlu konsisten dengan pendirian dan tidak bertanding jawatan Naib Presiden,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera hadir Majlis Latihan Kebombaan Keselamatan Di Air di Waterfront Bera hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata beliau
berpandangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sepatutnya menangguhkan pemilihan Umno kerana belum ada keputusan dibuat berhubung usul tambahan diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Sekarang ROS belum buat keputusan, sepatutnya keputusan dibuat sebelum tarikh tutup (pemilihan Umno), sebab apa kata tiba-tiba ROS buat keputusan tindakan Perhimpunan Agung Umno itu bertentangan perlembagaan, oleh itu semua jawatan mesti dipertandingkan.

“Kalau ini berlaku sudah jadi akademik, jadi ROS sepatutnya menangguhkan, bagi saya ROS perlu menangguhkan pertandingan dalam Umno, sebab kalau tidak tiba-tiba dia kata boleh bertanding, ada yang bertanding jawatan Naib Presiden mungkin hendak bertanding Presiden atau Timbalan Presiden.

“Jadi dia sudah hantar nama untuk Naib Presiden. Jadi saya percaya kalau ROS hendak buat keputusan, oleh kerana sekarang belum ada keputusan, ROS patut menangguhkan pemilihan sehingga ia membuat keputusan.

“Ini kerana, dalam akta pertubuhan, ada klausa mengatakan ROS berkuasa menangguhkan pemilihan. Jadi, ROS patut guna itu bahawa sebelum keputusan dibuat semua pemilihan ditangguhkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here