Muhyiddin cabar Ahli Parlimen PH buat tuduhan luar Dewan

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa menantunya menerima kontrak sistem Imigresen supaya membuat tuduhan itu di luar Parlimen.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu sudah dijelaskan oleh beliau ketika berucap baru-baru ini serta menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah.

“Saya duduk bersabar mendengar tuduhan yang telah pun dibuat oleh Yang Berhormat Kota Melaka (Khoo Poay Tiong).

“Saya dah jelaskan Yang Dipertua pada hari waktu saya berucap. YB Jelutong bangkit dan berapa lagi YB (termasuk) Ipoh Timur kalau tak silap saya bangkit soal itu.

“… yang mengatakan bahawa menantu saya bernama Muhammad Adnan Borhan telah dapat kontrak sistem imigresen yang disatukan di waktu mana YB Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) adalah Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Muhyiddin berkata, perkara itu adalah pertuduhan berat yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah beliau dan juga ahli keluarganya.

“Hanya kerana Yang Berhormat baca surat khabar. Surat khabar pula sekarang ni pun macam-macam cara. Yang dipertua tahu sangkaan buruk, ‘fake news’.

“Tapi kalau nak tanya saya, saya nak bagi tahu di sini dengan jelas bahawa itu tidak benar. Bahawa keputusan yang telah pun dibuat oleh pihak jawatankuasa pemilihan untuk memilih penender secara tender terbuka bukan menantu saya (tetapi) syarikat daripada Idris Coorporation Berhad.

“Saya nak nyatakan dengan jelas di sini kalau Yang Berhormat membangkitkan perkara itu di luar (Dewan Rakyat) saya akan ambil tindakan undang-undang… kalau berani sebut di luar,” katanya di Dewan Rakyat.

Muhyiddin berkata demikian ketika mencelah Perbahasan Bajet 2023 oleh Poay Tiong yang mendakwa projek bernilai berbilion ringgit diberikan kepada ahli keluarga.

Pada 9 Februari lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad.

Dalam hantaran di Facebooknya, beliau menyifatkan tuduhan ini sebagai fitnah jahat yang direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga. – Malaysiapost

Kredit foto: Ihsan RTM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here