KERAJAAN sedang mengkaji keperluan untuk menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen untuk menjadikan perkhidmatan Parlimen yang berasingan daripada perkhidmatan awam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beberapa perkara dasar berhubung penggubalan akta tersebut akan dimuktamadkan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Dalam masa sama, katanya, bagi menyesuaikan dengan persekitaran dan keadaan semasa, kerajaan sedang meneliti untuk meminda Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347].
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah kadar denda diperuntukkan dalam akta ini yang tidak pernah dipinda sejak ia digubal pada 1952 dan istilah-istilah lapuk dan terma yang perlu dipinda supaya relevan dengan keadaan masa kini.
“Seterusnya, penambahbaikan dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] juga sedang dilaksanakan bagi memperkasa akta tersebut dan merealisasikan visi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 untuk mewujudkan negara bebas rasuah.
“Pelaksanaan penambahbaikan mengambil kira pandangan dan input daripada beberapa sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh termasuk United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan Government Accountability Project (GAP),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN – Indera Mahkota) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat mencadangkan butiran khusus berkaitan reformasi komprehensif terhadap sistem dan institusi negara.
Ini termasuk reformasi Parlimen dan meneruskan inisiatif reformasi yang pernah diusahakan sebelum ini serta adakah kerajaan akan mencadangkan proses perundingan yang inklusif bagi melaksanakan agenda reformasi tersebut.
Fadillah berkata kerajaan perpaduan memandang serius agenda reformasi institusi dan akan mengambil tindakan tuntas bagi merealisasikan agenda tersebut.
“Kerajaan akan memastikan sebarang reformasi yang dilaksanakan ini dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya lagi.

