PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan kewujudan beberapa kem dalam parti itu ketika ini.
Beliau berkata, tidak wujud sebarang kem dalam Umno pada pemilihan parti kali ini sekali gus menepis dakwaan kononnya parti itu sedang berpecah dengan kemunculan tiga kem.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, hanya ada satu kem dalam parti berkenaan, iaitu kem Umno Malaysia.
“Tidak ada kem. Satu kem saja, kem Umno Malaysia,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Mara Halal Industrial Park di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan kewujudan tiga kem dalam Umno pada pemilihan kali ini iaitu kem yang menyokong beliau, kem yang tidak menyokong dan kem yang berpendirian neutral.
Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Februari hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Februari.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat pula, bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – Malaysiapost

