PERSIDANGAN Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-15, ditambah selama dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April depan.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata ia bagi membolehkan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) dan urusan kerajaan dapat dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat.
“Ahli-ahli Yang Berhormat, dimaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Ketua Majlis telah menambah dua hari bagi Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-15 tahun 2023.
“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu pada hari Isnin, 3 April dan Selasa 4 April 2023,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, notis bertulis mengenai perkara itu akan diberikan kepada semua Ahli Parlimen selepas ini.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung mulai 13 Feb hingga 30 Mac dan diikuti persidangan Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Februari lalu berkenan berangkat merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini. – Malaysiapost

